Menggabungkan motif kontemporari dengan cetakan blok tangan tradisional, koleksi batik eksklusif ini diperbuat daripada 100% kain kapas organik.

Enrich, program gaya hidup oleh Malaysia Airlines (MAS) telah berganding bersama Kapten Batik untuk mencipta satu koleksi batik mesra alam, Enrich x Kapten Batik.

Dirasmikan DYTM Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, koleksi ini terdiri daripada enam busana dan aksesori jahitan tangan. 

(Dua dari kiri) Amiroel Shazrie Yusof (wakil Enrich), Tengku Zatashah dan Pengasas Kapten Batik, Ekram Faiz. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

Antaranya, baju batik lelaki, wanita dan kanak-kanak, tas tangan, beg jinjing dan pelitup muka yang direka khusus bagi menghadirkan keselesaan dalam penggayaan.

Koleksi ini menerapkan elemen mampan dengan bahan utamanya diperbuat daripada 100% kain kapas organik dan dicelup dengan tangan menggunakan warna-warna semula jadi.


Gambar oleh Nooreeza Hashim

Motif batik kontemporari pada koleksi ini dicetak dengan kemas melalui kaedah tradisional dengan menggunakan blok batik tangan. 

Ketua Pegawai Pemasaran MAS, Lau Yin May berkata, sedang mereka menjelajahi segmen gaya hidup, Enrich sekali lagi bekerjasama dengan Kapten Batik untuk satu koleksi yang tak lapuk dek zaman, bersemangat dan sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Gambar oleh Nooreeza Hashim

“Direka dengan mengambil kira faktor kemampanan di fikiran, rangkaian ini menyuntik unsur fesyen dan mesra alam, selari dengan pemikiran pengguna pada hari ini yang ingin memainkan peranan mereka ke arah usaha kelestarian yang lebih besar,” ucapnya.


Gambar oleh Nooreeza Hashim

Terdahulu, koleksi ini meneruskan kolaborasi pertama antara Enrich bersama Kapten Batik dengan koleksi pelitup muka pada bulan Mac 2021, tahun lalu. 

Ahli Enrich akan memperoleh mata untuk setiap pembelian di Kapten Batik atau menebus mata mereka sebagai baucar yang boleh digunakan di Butik Kapten Batik.

Koleksi Enrich x Kapten Batik boleh didapati secara eksklusif di Temptations atau Butik Kapten Batik di Publika, BSC, The Curve dan Gurney Paragon Mall. – Getaran, 9 Ogos 2022


Pempengaruh Media Sosial, Arieff Yong bersama Pelakon dan Peragawan, Malek Mccrone. - Gambar oleh Nooreeza Hashim

Click here to read the original write-up.

August 09, 2022 — Haikal Aziz
ˆ